“Dan persiapkanlah untuk menentang mereka (musuh) segala jenis kekuatan yang mampu kamu sediakan dari kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, agar dengan persiapan itu gerunlah musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kamu.” (Al-Anfal : 60)

Sabda Rasulullah SAW :
”Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani)

"Ajarkan putera-puteramu berenang dan memanah" (Riwayat Ath Thahawi)

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan: “Nabi SAW melalui satu kawasan di mana sahabat sedang memanah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah).” Lalu kumpulan satu lagi berhenti memanah. Rasulullah SAW bertanya: “Kenapa kamu berhenti memanah?” Jawab sahabat: “Bagaimana kami hendak memanah kamu berada bersama kami.” Nabi SAW menjawab: “Memanahlah, aku bersama kamu semua.” (Hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tuesday 28 May 2013

Sunnah Memanah (Bahagian 1)

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman serta provokasi terhadap umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda:
“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.”
(Hadis riwayat Muslim)

Banyak hadis menyebut mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang.

Sukan memanah adalah termasuk dalam salah satu acara kegemaran Rasulullah SAW sepertimana yang disebut dalam salah satu hadithnya;
“Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.”
(Riwayat Bazzar, dan Thabarani)


Secara dasarnya, teknik memanah dapat dibahagikan kepada 2 kategori, 
iaitu :

1. memanah secara naluri (instinctive)
2. pandangan (sight).

Pembahagian jenis busur dan teknik memanah :
1. busur tunggal (single/one piece bow) - separa-naluri (semi-instinctive)
2. busur berangkai (take-down bow) - separa-naluri (semi-instinctive) 
[disebabkan busur berkenaan mempunyai penyangga anak panah (arrow rest).]
3. busur tradisional - naluri (instinctive)
4. busur kompaun - pandangan (sight) [sangat bergantung kepada alat bantuan pandangan (sight & peep) untuk membidik titik sasaran.]

Walaubagaimanapun, kedua-dua teknik tersebut adalah sebahagian dari sunnah memanah namun jika kita perhalusi, terdapat beberapa aspek yang perlu diteliti untuk mentakrifkan perbezaan mahupun persamaan antara sunnah memanah dan memanah secara sunnah.

InsyaAllah, di dalam topik ini, kita perbincangkan untuk mencapai maksud, cara, dan teknik untuk memanah secara sunnah agar sama-sama kita dapat merungkai dan menikmati nilai-nilai ibadah yang terdapat dalam sunnah memanah Rasulullah SAW, dalam sebaik-sebaik mencontohi perilaku dan perbuatan baginda Rasulullah SAW.



PENGERTIAN SUNNAH MEMANAH

Diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir RA dia berkata:
“Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda di atas mimbar:
'Persiapkanlah semua kekuatan yang kalian miliki. Ketahuilah sesungguhnya  kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah  memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah.'"
- Sahih Muslim Hadith no. 1917

Di dalam hadith ini dapat ditakrifkan bahawa di dalam aktiviti memanah ini ianya menitikberatkan dan memerlukan nilai kekuatan yang ada pada diri kita. Maka untuk ditakrifkan kepada memanah secara sunnah agar dapat mencapai tahap beribadah seperti baginda Rasulullah SAW, 'kekuatan' yang dimaksudkan adalah meliputi aspek zahir (perbuatan) dan juga rohani/batin (niat). Jika pemanah memahami dan mengamalkan kedua-dua aspek zahir dan rohani ini maka lahirlah kekuatan menyeluruhi luaran dan dalaman setiap pengamal seni sunnah memanah ini.

KEKUATAN MEMANAH BERMULA DARIPADA ASPEK ROHANI/BATIN

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya amalan itu tergantung niatnya, dan sesungguhnya setiap orang mendapatkan sesuai apa yang diniatkan, barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya karena dunia yang akan memperolehinya atau wanita yang ingin dinikahi maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dia niatkan.”
- Hadith riwayat Bukhari Muslim

Kepentingan memanah yang diterapkan dapat mewujudkan kekuatan ummah dalam berjihad kerana dalam keadaan/situasi tertentu, setiap muslim sejati wajib membentuk unit terkecil ketenteraan di dalam jihad fi sabilillah. Jihad Fi Sabilillah ini tiada pengecualian samada tentera dan bukan tentera atau polis dan orang awam kerana semua Muslim menjadi wajib ke atas diri mereka atas kemampuan mereka malah sekecil-kecil jihad itu melalui jihad hati.



Seperti yang kita sedia maklum, Jihad itu terbahagi kepada Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Oleh itu, induvidu Muslim itu sendiri tidak boleh melepaskan bebanan tanggungjawab/amanah ke atas orang lain, malah individu Muslim perlu mencari ilmu untuk mempertahankan diri sendiri dalam konteks jihad ke atas diri sendiri kerana membuat persiapan untuk perang jihad itu adalah WAJIB, manakala pergi berperang itu boleh jadi Fardhu Kifayah atau Fardhu Ain.

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa mati, sedang ia tidak pernah berjihad (perang) dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad (perang), ia mati dalam satu cabang kemunafikan.”
- Muttafaq Alaih

Merujuk kembali kepada NIAT MEMANAH, setiap pengamal sunnah memanah ini  perlu berniat bahawa mereka memanah adalah sebagai persiapan untuk jihad fi sabilillah dan tiada yang lain. Maka dengan niat ini insyaAllah akan mendapat syafaat baginda Rasulullah SAW dan ganjaran serta perlindungan daripada Allah SWT. Sebaliknya, jika pemanah itu memanah kerana hobi, budaya, riadah dan sebagainya, maka setakat itu sahajalah ganjaran amalannya dan ianya menjadi sia-sia belaka.



Bermula dengan niat yang utuh dan ikhlas akan terlahirlah pemanah sunnah yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan tahap permainannya secara beristiqomah dan sentiasa memperbaiki untuk mencapai tahap panahan terbaik. Dengan semangat juang yang tinggi ini, semangat dan perbuatan pemanah ini akan menjadi semakin membara untuk berjuang pada jalan kebenaran dan sentiasa berusaha untuk mencari peluang untuk berada pada jalan perjuangan. Maka akan terlahirlah KEKUATAN yang tiada tolok bandingannya seperti mana yang disebut di dalam hadith di atas.

2 comments: